KURSUS ASAS SKUAD MUDA RELA SIRI 3/2011
![]() |

*Klik Pada Gambar Untuk Besarkan.
KOLEJ MULTIMEDIA (UTARA) LAHIRKAN RELAWAN & RELAWATI MUDA
Pusat Latihan Rela Wilayah Utara dengan kerjasama Kementerian Belia & Sukan telah menganjurkan Kursus Asas Skuad Muda Rela Peringkat Negeri Perak Siri-3 yang telah berlangsung selama 7 hari bermula pada 17 Jun 2011 hingga 23 Jun 2011 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah. Pihak Kolej Multimedia (Utara) telah menghantar seramai 136 pelajar sebagai peserta kursus daripada 150 peserta yang terlibat.
Semua peserta diberi taklimat serta pakaian untuk digunakan sepanjang kursus dan perlu mengikuti aktiviti seperti yang telah dijadualkan bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam setiap hari. Para peserta juga akan diberikan satu unifom RELA, sijil penyertaan, kad ahli RELA dan elaun pada penghujung kursus.
Melalui kursus ini para peserta telah didedahkan dengan latihan kawad, latihan menembak senjata api dan senapang patah serta taklimat daripada beberapa badan berunifom. Para peserta telah dibahagikan kepada 3 platun yang terdiri daripada 50 peserta bagi setiap platun. Setiap platun diserahkan kepada jurulatih yang berasingan daripada Pusat Latihan Rela bagi melatih para peserta terutamanya bagi aktiviti latihan kawad.
Pada 23 Jun 2011, satu majlis penutupan dan perbarisan tamat latihan telah diadakan dengan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Encik Mohd Ali Bin Jabar, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Belia & Sukan Malaysia. Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Cawangan Kolej Multimedia (Utara) Encik Tajudin Bin Ramlee bersama semua kakitangan kolej dan para pegawai serta jurulatih Pusat Latihan Rela Wilayah Utara. Majlis ini diserikan lagi dengan menerima tabik hormat, persembahan ‘kawad informasi’, ‘perbarisan berjalan lalu dalam cepat masa’ dan lafaz ikrar oleh para peserta kursus. Kemuncak majlis diteruskan dengan mengumumkan peserta terbaik serta penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi kategori kawad individu dan menembak. Peserta terbaik yang telah diumumkan di sepanjang kursus ialah Muhammad Thaqif Bin Abdullah.
Pengisian daripada kursus ini telah dapat mendisiplinkan pelajar, membentuk jati diri, semangat berpasukan dan cekal dalam menempuh pelbagai rintangan. Selain itu, kursus ini juga telah dapat menjalinkan satu usahasama yang baik antara Kolej Multimedia (Utara) dengan pihak Kementerian Belia & Sukan Malaysia serta beberapa agensi kerajaan yang terlibat sekaligus memperluaskan penglibatan para pelajar kolej ke seluruh pelusuk wilayah.
Sekiranya ada di antara unit Telekom Malaysia (TM) yang berminat serta memerlukan khidmat sukarelawan RELA dari Kolej Multimedia (Utara), pihak anda boleh menghubungi Encik Tajudin Bin Ramlee di talian 05-8099309 bagi mendapatkan keterangan lanjut.
PENTOMEN
*Klik Pada Gambar Untuk Besarkan.
PENTOMEN KOLEJ MULTIMEDIA (UTARA) RAIH PUJIAN PENONTON
Kolej Multimedia (Utara) telah diberi peluang untuk mempersembahkan sebuah pentomen pada hari perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan TM kali ke-35. Pentomen yang bertajuk Jihad 1 Ummah diilhamkan dari cetusan idea Encik Tajudin Bin Ramlee dibantu oleh Puan Khairul Noor Azwa Binti Kamarudin, Cik Sarah Nur Binti Ahmad dan Cik Nurhidayah Binti Haji Mat Zaini selaku penulis skrip. Pentomen ini dijayakan oleh gandingan padu para pelajar Kolej Multimedia (Utara) dengan mempersembahkan lakonan yang begitu mantap, props yang menarik di samping video yang begitu memberi kesan yang mendalam di hati para penonton.
Pentomen tersebut mengisahkan sebuah keluarga di Palestin yang diragut kebahagiannya kerana kerakusan dan kekejaman pihak Israel. Seorang gadis kecil yang masih tidak memahami erti kehidupan sebenar sering merintih dan mempersoalkan nasib malangnya yang telah kehilangan abi dan abangnya yang telah terkorban di medan perang. Namun, uminya yang begitu cekal sering meniupkan kata-kata azimat bahawa semangat jihad masih hidup di setiap sanubari umat Islam seluruh dunia. Pentomen ini bertepatan dengan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan TM kali ke-35 yang bertemakan 1 Malaysia, 1 Ummah, I TM
Pentomen yang dipersembahkan oleh Kolej Multimedia (Utara) ini berjaya memukau dan mendapat pujian daripada penonton kerana ada sebilangan mereka yang sebak sehingga menitiskan air mata melihat kekejaman dan penindasan pihak Israel kepada penduduk Islam Palestin yang berjaya dilakonkan dengan baik sekali oleh para pelajar. Melalui pentomen ini, ia mengajak agar umat Islam bersatu padu bagi menentang musuh serta hidup berlandaskan Al-Quran.
MALAM ANUGERAH & MERDEKA RAYA
*Klik Pada Gambar Untuk Besarkan.
EXCO PENGAJIAN TINGGI PERAK KE MMC (UTARA) BAGI SAMBUTAN MERDEKA RAYA
Sambutan Merdeka Raya & Malam Anugerah antara majlis yang dinanti-nantikan oleh setiap pelajar Kolej Multimedia (Utara) kerana merupakan malam pengiktirafan di atas kecemerlangan akademik selain dapat beramah mesra di antara sesama pelajar dan kakitangan kolej. Majlis yang telah dilangsungkan dengan jayanya pada 23 September 2011 bertemakan ‘Merdeka Raya’ mendapat pujian daripada Yang Berhormat Dato’ Mohammad Zahir Bin Dato’ Haji Abdul Khalid, ADUN kawasan Kamunting yang merupakan tetamu jemputan pada malam tersebut.
Majlis pada malam itu, diserikan dengan pelbagai persembahan menarik daripada para pelajar antaranya persembahan lagu patriotik sambil mengibarkan jalur gemilang, nasyid, koir, tarian dan juga laungan merdeka sebagai simbolik kemerdekaan. Penyampaian sijil kepada penerima anugerah dekan dan sijil aktiviti kepada pelajar yang aktif turut menjadi agenda utama pada majlis tersebut.
Yang Berhormat Dato’ Mohammad Zahir yang juga merangkap Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains & Teknologi negeri Perak turut sempat meluangkan masa bagi membuat lawatan ke setiap gerai yang telah di sediakan oleh para pelajar. Para pelajar dikehendaki menggunakan kreativiti bagi mereka gerai yang menarik dan menyediakan menu makanan yang telah ditetapkan. Para tetamu dan pelajar dilihat begitu ceria dengan busana raya selain dapat menikmati pelbagai juadah yang istimewa. Majlis tahunan seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan ikatan silaturrahim malah turut menjadi kenangan terindah di setiap sanubari pelajar Kolej Multimedia (Utara).
KURSUS PHOTOSHOP
*Klik Pada Gambar Untuk Besarkan.
KOLEJ MULTIMEDIA (UTARA) DAPAT PUJIAN PARA PESERTA KURSUS PHOTOSHOP
Kolej Multimedia (Utara) telah menganjurkan kursus Photoshop dengan kerjasama Kolej Komuniti yang melibatkan penyertaan guru-guru subjek Seni Visual dari beberapa daerah iaitu daerah Larut Matang & Selama, Kerian dan Kuala Kangsar. Kursus ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan namun ia hanya terbuka kepada 30 peserta yang terawal mendaftar dengan pihak kolej. Program ini telah dijalankan selama dua hari iaitu pada 17 sehingga 18 Disember 2011 bertempat di makmal komputer Kolej Multimedia (Utara).
Dalam kursus tersebut, para peserta diberi tunjuk ajar seterusnya diberi peluang untuk mengaplikasikan sendiri teknik penggunaan perisian Adobe Photoshop. Suasana pembelajaran yang begitu santai memudahkan para peserta memahami dan berinteraksi dengan tenaga pengajar tanpa rasa tertekan. Oleh itu, para peserta dapat menambahkan pengetahuan serta menguasai kemahiran dalam masa yang singkat.
Melalui kursus seperti ini bukan sahaja dapat memberikan ilmu kepada para peserta namun pada masa yang sama dapat meningkatkan lagi imej Kolej Multimedia (Utara) pada pandangan masyarakat luar. Para peserta juga ternyata amat berpuas hati dan memberikan maklum balas yang begitu positif terhadap kursus yang telah dianjurkan.
PENGAMBILAN PELAJAR MMC(N) AMBILAN JULAI 2011
*Klik Pada Gambar Untuk Besarkan.
PENGAMBILAN SISWA DAN SISWI BARU KOLEJ MULTIMEDIA (UTARA)
Pada 13 Julai yang lalu, Kolej Multimedia (Utara) sekali lagi membuka peluang kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendaftarkan diri sebagai mahasiswa mahasiswi bagi sesi Julai 2011. Pelbagai bidang kursus di peringkat diploma ditawarkan antaranya Diploma in Engineering (Telecommunication) (DTE), Diploma in Management with Multimedia (DMG), Diploma in Accounting with Multimedia (DIA) dan Diploma in Creative New Media (DNM). DNM merupakan kursus baru yang ditawarkan di Kolej Multimedia (Utara) yang dilihat mempunyai masa depan yang cerah bertepatan dengan kehendak industri dan ledakan teknologi masa kini.
Ambilan Julai 2011 menyaksikan seramai 104 orang mahasiswa mahasiswi telah mendaftar dalam pelbagai bidang yang ditawarkan mengikut kelayakan masing-masing. Sesi orientasi dijalankan sebaik sahaja tamatnya majlis pendaftaran yang dikelola oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) selama 5 hari bagi memberi pendedahan dan menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di kolej. Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan contohnya teknik-teknik pembelajaran, latihan dalam kumpulan (LDK) serta penglibatan dalam pertandingan Jalan Kaki Terbuka Perak 2011 yang bertempat di Kompleks Rakan Muda, Kamunting Perak. Kolej Multimedia (Utara) masih mengalu-alukan dan membuka peluang kepada para pelajar lepasan SPM untuk mendaftarkan diri di kolej ini sehingga 1 Ogos 2011.
BAUCER BUKU 1MALAYSIA
*Klik Pada Gambar Untuk Besarkan.
Pelajar Kolej Multimedia terima RM200 Baucar Buku 1Malaysia
Pada 12 Januari 2012, Kolej Multimedia Kuala Lumpur telah mengedarkan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada 740 pelajarnya. Semasa pembentangan belanjawan 2012, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM260 juta bagi melaksanakan pemberian baucer buku berjumlah RM200 dimana inisiatif ini dijangka memberi manafaat kepada 1.3 juta pelajar.
Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam membantu untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian. Selain itu, inisiatif ini juga dijangka dapat memupuk minat membaca dikalangan pelajar.
Setiap pelajar layak menerima baucar buku berjumlah RM 200 berupa baucar RM 50 sebanyak 4 keping. Baucar ini sah diguna pakai selama 3 bulan sahaja iaitu bermula 1 Januari sehingga 31 Mac 2012.
Kebanyakan pelajar melahirkan rasa berbesar hati dengan pemberian baucar ini. Mereka menyatakan bahawa baucar ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka untuk menbeli buku teks dan buku rujukan tambahan serta kelengkapan alat tulis untuk menampung pengajian mereka.
ANUGERAH REMAJA PERDANA RAKAN MUDA
*Klik Pada Gambar Untuk Besarkan.
ANUGERAH REMAJA PERDANA RAKAN MUDA (ARPRM) MENYEMARAKKAN KECEMERLANGAN KOLEJ MULTIMEDIA (UTARA)
Majlis Penganugerahan & Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Negeri Perak 2011 telah berlangsung pada 15 November 2011(Selasa) di Dewan Besar, Kompleks Rakan Muda Taiping anjuran Jabatan Belia & Sukan Negeri Perak. Seramai 288 peserta yang terdiri daripada lima badan & daerah telah berjaya mendapat pingat gangsa yang majoriti peserta terdiri daripada pelajar Kolej Multimedia (Utara) iaitu seramai 56 peserta. Semua peserta yang menerima anugerah ini akan meneruskan ke peringkat pingat Perak bermula pada Januari 2012.
Kolej Multimedia (Utara) telah mendapat pujian daripada pihak Kementerian Belia & Sukan Malaysia kerana menjadi kolej pertama di Negeri Perak yang berani menyahut seruan kementerian untuk melaksankan program ini. Tujuan utama program ini diadakan bagi melahirkan golongan belia yang bertanggungjawab, berdisiplin dan berwawasan.
Dengan penglibatan para pelajar di peringkat kebangsaan ini, seiring dengan pencapaian yang cemerlang dari segi kualiti yang diraih oleh Kolej Multimedia (Utara) melalui Malaysian Quality Evaluation System (MyQuest) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dengan memperoleh 3 bintang bagi peringkat Kolej Swasta. Kesinambungan kedua-dua kecemerlangan ini membuktikan bahawa pelajar Kolej Multimedia (Utara) bukan sahaja mampu bersaing dari segi pencapaian akademik malah mampu memberi keseimbangan dari segi kepimpinan dan semangat kesukarelaan.
MAJLIS PERLANTIKAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP)
*Klik Pada Gambar Untuk Besarkan.
KOLEJ MULTIMEDIA (UTARA) LAHIRKAN PELAJAR CEMERLANG
Kolej Multimedia (Utara) telah membuka lembaran tahun baru dengan mengadakan satu majlis watikah pelantikan bagi majlis perwakilan pelajar (MPP) sesi 2012/2013 serta majlis kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum pada 2 Februari 2012 yang lalu di dewan, Kompleks Rakan Muda, Kamunting, Perak. Program penganugerahan ini dijalankan bagi menyemarakkan keazaman dan ketekunan para pelajar bagi mengejar kecemerlangan yang berterusan bukan hanya dalam bidang akademik namun seiring juga dengan kecemerlangan dalam bidang ko-kurikulum.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Pn. Hjh. Nelfi Bt. Simanjuntak, Penolong Pengurus Besar, Modal Insan Negeri Perak, Telekom Malaysia Berhad dan En. Kamarudin Bin Abdul Hamid, Pemangku Pegawai Belia dan Sukan, Daerah Larut Matang & Selama. Seramai 29 orang pelajar yang cemerlang dalam pencapaian akademik telah menjadi penerima Anugerah Dekan dan seramai 56 orang pelajar telah berjaya menamatkan cabaran untuk melayakkan diri bagi menerima Anugerah Gangsa bagi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) hasil kerjasama yang erat Pejabat Belia dan Sukan, Daerah Larut Matang & Selama. Selain itu, 33 orang para pelajar pula telah dilantik menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menerusi proses pemilihan yang dilakukan dalam Pilihanraya Kolej sebelum ini.
Melalui majlis yang dijalankan membuktikan bahawa Kolej Multimedia (Utara) telah melahirkan para pelajar yang mempunyai kualiti dari segi akademik, ko-kurikulum dan kepimpinan. Selain itu, pendedahan dengan pelbagai kemahiran, mampu menyelesaikan masalah dengan berfikir secara kreatif dan kritis, mempunyai daya kepimpinan di dalam kerja berpasukan serta keseimbangan dari segi keperibadian mencerminkan kecemerlangan para pelajar Kolej Multimedia (Utara).
KEM CRIME AWARENESS TEAM (CAT) PERINGKAT KEBANGSAAN
![]() |
Kolej Multimedia (Utara) mewakili negeri Perak bagi Kem CAT Peringkat Kebangsaan |
No comments:
Post a Comment